Menyingkap perkembangan semasa hari ini, kita akan melihat telah banyak teguran yang diberikan sama ada oleh para mufti, alim ulama, NGO, atau persatuan yang prihatin terhadap unsur-unsur keterlaluan dalam perkembangan industri muzik dan seni suara, terutamanya yang berkaitan dengan program hiburan realiti tanahair. Sememangnya perkara ini adalah satu isu yang perlu diberikan perhatian. Ini adalah penting kerana perkembangan tersebut begitu menampakkan kesan dan pengaruhnya terhadap gaya hidup remaja dan belia masa kini.
Secara umumnya, muzik dan seni suara adalah merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan inovasi manusia. Ianya adalah sebahagian daripada aktiviti rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentiasa diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun manusia.
Menurut Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) rekreasi membawa pengertian “kegiatan yang menyeronokkan yang boleh menyegarkan kembali kesihatan badan dan melapangkan fikiran seperti beristirehat, menghiburkan hati, beriadah dengan tujuan untuk menyegarkan badan dan akal fikiran.”
Berdasarkan definisi ini dapatlah dirumuskan bahawa rekreasi dalam bentuk muzik dan seni suara ialah satu aktiviti yang menyeronokan yang boleh melapangkan fikiran, menenangkan hati dan perasaan, melupakan kesedihan, bahkan dapat menguatkan kemahuan dengan mematuhi peraturan-peraturan dan disiplin-disiplin tertentu. Persoalan yang timbul sekarang ialah apakah pandangan Islam terhadap amalan hiburan yang diamalkan masa kini?
Bagi kita orang Islam, kita meyakini bahawa Islam adalah satu cara hidup yang sempurna dan pasti dapat menjawab setiap persoalan hidup manusia yang mempunyai keinginan yang bermacam-macam dan tidak terkecuali dalam urusan yang berkaitan dengan hiburan. Tujuan syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk kebebasan manusia tetapi sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana Islam itu sesuai dengan fitrah semulajadi manusia itu sendiri.
Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu badani tanpa sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.
Konsep hiburan yang berunsurkan ‘leisure’ melulu semata-mata biasanya dilakukan untuk berbagai-bagai tujuan. Dalam Islam, konsep hiburan ialah untuk mencari kesejahteraan, ketenangan dan kepuasan, terlepas dari perasaan bersalah, ketegangan dan keresahan. Ia dapat dilakukan di waktu lapang, secara individu, bersama keluarga atau kawan-kawan, bahkan ketika beribadah seperti seni taranum membaca al-Quran, gubahan sajak dan syair yang membesarkan Allah dan sebagainya.
Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin Al-As , yang bermaksud:
“Wahai Abdullah bin Amar, “Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut.”
Selain itu, terdapat hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang mengizinkan gendang dimainkan pada majlis-majlis tertentu, sebagaiman Imam Tarmizi telah meriwayatkan daripada Aishah, katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang maksudnya:
“Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta pukullah rebana.”
Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan peperangan.
Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata-kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar yang terdiri daripada orang awam.
Sementara Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar pula berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.
Oleh itu apabila membincangkan mengenai hiburan, hal-hal seperti susunan kata-kata yang haram, penampilan penyanyi, masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan manusia, majlis yang disertai dengan makanan dan minuman haram, pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas, dan kesan nyanyian kepada pendengar-pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk hendaklah diambil-kira.
Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat. Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama manusia.
Jelas kepada kita bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani, rohani dan sosialnya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya terhindar dari sebarang penyakit, tetapi juga terhindar dari permasalahan emosi, perasaan, isu-isu rumahtangga, kekeluargaan, tempat kerja dan sebagainya. Malah dalam konteks sosial yang lebih luas, insan yang sihat itu ialah yang dapat memelihara diri dan mampu berada dalam keadaan aman dan damai dalam persekitaran sosial, ekonomi dan politik, tanpa perbezaan ras, etnik dan sebagainya.
Kesihatan jasmani, rohani dan sosial merupakan sesuatu yang bersepadu dan tidak dapat dipisah-pisahkan. Insan yang sihat badan, roh dan jiwanya berserta yang sihat sosialnya sahaja yang merupakan insan yang seimbang, stabil dan produktif. Usaha manusia untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat ialah dengan menguasai ketenangan jiwa, kesihatan fizikal dan menghindari kekusutan fizikal dan mental. Inilah yang ingin dicapai menerusi konsep hiburan dalam Islam.
Jasmani yang sihat akan menjamin kecerdasan otak dan minda, ketenangan dan kematangan jiwa, emosi dan perasaan; dan dengan itu terhindarlah segala konflik, stress dan sebagainya. Kesihatan jasmani dan rohani akan melahirkan sikap mental yang kuat dan kukuh, dinamik, kreatif dan pantang menyerah dalam menghadapi pelbagai masalah kehidupan. Dengan itu juga maka masyarakat akan terselamat dari sebarang aktiviti yang memudaratkan, malah ia juga akan menjadi insan yang tidak mudah berputus asa, bahkan imannya menjadi semakin kuat dan mantap.
Maka dengan itu, sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi hendaklah dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik, dan sesuai serta selesa dengan budaya tempatan. Berdasarkan kepada fakta sejarah, bahan dan bidang untuk kesenian dalam Islam adalah luas dengan segala kebaikan dan kehalusan seninya. Tetapi adakah masyarakat kita memberi laluan yang sewajarnya untuk perkembangan hiburan tanah air dilahirkan menerusi acuan dan pendekatan Islam?
Sesungguhnya masalah dan perdebatan inilah yang ingin dicari penyelesaiannya supaya ianya menjadi satu titik tolak ke arah yang lebih bermakna demi mendapatkan keredaan Allah s..w.t. dalam konteks memenuhi naluri keinginan manusia menerusi hiburan yang terpimpin.
Kredit: Islam dan Hiburan – IKIM
Artikel berkaitan:
- Berhibur ada batasannya – Lokman bin Ismail
- E-Fatwa: Garis Panduan Hiburan dalam Islam
- Dr MAZA – Hukum Nyanyian dan Hiburan
- Halal dan Haram dalam Islam oleh Yusuf Qardhawi
Assalamu’alaikum, saya berminat untuk mendapatkan khidmat Team DJ Islamik untuk Majlis Menyambut Menantu anak saya. Tolong hubungi saya. Terima kasih.